10 Feb 2012

Duri Amarah Genggam Tak Berdarah



Badai semalam
Masih segar dalam ingatan
Mana mungkin aku lupa kesemuanya sekali
Kisah semalam
Masih lagi basah tersidai di ampaian hati
Mana mungkin kering
Jika mentari tak nampakkan sinarannya
Kemana saja ku pergi
Ku bawa bersama parut-parut
Yang terukir sakit pada diri ini
Mana mungkin hilang
Jika luka lama berdarah kembali


Jika hari ini aku diam
Biarkan saja
Jangan diusik ketenangan yang dicari
Kerana kau belum pasti
Tentang kebenaran yang bakal memusnahkan
Kebahagiaan yang dicari
Berbicaralah apa saja
Kau takkan mampu mengubah
Kisah-kisah semalam
Yang tersemat rapi di sanubari aku dan dia


Namun suatu hari jika aku kembali
Takkan kubiarkan maruahku dicemari lagi
Mungkin aku akan membunuh beberapa jiwa
Jiwa-jiwa yang lemah, polos dan berdusta
Cepat atau lambat
Realitinya akan terbentang di depan matamu sendiri
Dan ketika itu
Tiada guna walaupun kau cuba membutakan mata
Jangan salahkan aku
Kerana aku hanya akan memerhati
Dari sudut yang lain




No comments:

Post a Comment

SEMUA YANG BERADA DI BLOG INI ADALAH HAK MILIK UMIE ZAIRA ANA